Friday, October 23, 2009

Jom Baiki Solat Kita ^^



Bismillahirrah manirrahim...



Allah mengurniakan banyak benda halal yang menafikan sifat kepaderian. Tetapi seorang yang beriman memiliki suatu kelazatan yang jauh lebih besar daripada kelazatan benda-benda halal, iaitu ketika dia menuju kepada tuhannya dengan ruh yang jernih. Ketika itu, dia akan meninggalkan kebanyakan kelazatan yang halal kerana bimbang semuanya akan mengeruhkan kejernihan yang sedang dialaminya.
Orang-orang beriman dahulu telah melaluinya, iaitu ketika kehidupan ini hanya berlangsung dalam bentuknya yang sederhana. Dan orang-orang beriman hari ini juga turut melaluinya iaitu pada zaman yang dipenuhi dengan ketamadunan yang amat kompleks ini.
Bahkan sembahyang yang dilakukan pada zaman ini lebih banyak mendatangkan kegembiraan kerana setelah manusia hari ini menghadapi pelbagai kecanggihan, mereka merasa jemu, bosan dan boring. Sembahyang yang dilakukan dapat menyingkatkan kehidupan mereka yang membosankan itu menjadi beberapa jam sahaja dengan memberikan mereka kehidupan yang tenang dan fikiran yang lapang. Jika teori Einstein berkenaan kerelatifan atau kenisbahan waktu adalah benar, maka di dalam sembahyang mungkin teorinya benar, sebagaimana dihuraikan oleh Mustafa Sadiq al-Rafi’iyy:
“Betapa besar hikmat kenapa sembahyang difardukan kepada kita antara beberapa tempoh waktu yang tertentu. Agar ruh kita sentiasa selama-lamanya berhubung atau bersedia untuk berhubung dengan tuhannya. Orang yang paling lemah ruh agamanya sekalipun akan mampu untuk mengawal dirinya kerana selepas menunaikan sesuatu sembahyang fardu, dia akan merasakan bahawa dia akan mengadap tuhannya sekali lagi pada sembahyang fardu berikutnya. Oleh itu, dia merasa takut untuk berdiri di hadapan tuhannya dalam keadaan bersalah atau berdosa. Kemudian jika dia berjaya mengawal dirinya selepas menunaikan sembahyang fardu itu, maka dia akan mengingati bahawa selepas itu terdapat sembahyang fardu yang lain lagi yang akan tiba masanya hanya beberapa ketika sahaja lagi. Oleh itu, seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan jiwa yang mempunyai azam yang tinggi dan kesucian sepanjang umurnya dalam keadaan dan bentuk yang sama, tidak berubah sama sekali, seolah-olah meskipun umurnya yang panjang, namun sembahyang fardu yang ditunaikannya hanya seperti amalan dalam tempoh beberapa jam sahaja”.
Panjang kehidupan adalah sesuatu yang relatif.
Ia amat panjang, gelap dan menggerunkan… bagi seorang yang jahil.
Ia adalah pendek, mudah dan bercahaya… bagi seorang yang bersembahyang.
Kehidupan seorang jahil: Kebekuan yang berterusan.
Kehidupan seorang yang bersembahyang: Pergerakan yang menambahkan kebenaran, atau memperbetulkan kebengkokan.
Ia adalah seruan Allahu Akbar yang menamatkan kebekuan tersebut dan merintiskan satu pergerakan.
Allahu Akbar!
Pada setiap saat setiap hari, kehidupan ini sentiasa melaungkan seruannya dengan menyebut:
Wahai seorang yang beriman! Jika anda telah melakukan sesuatu yang betul dalam jam-jam yang telah lalu, maka terus berusahalah untuk jam-jam berikutnya. Tetapi jika anda telah melakukan kesilapan, maka lakukanlah penebusan dan hapuskan (kesalahan yang dilakukan di dalam) suatu saat dengan (kebaikan yang dilakukan pada) saat yang lain.
Gerakan paling jelas yang dilahirkan oleh seruan takbir (Allahu Akbar) ialah: Gerakan pembezaan (tamyiz) dan pemisahan (furqan) antara para wali Allah dan para wali syaitan.
Jika anda berkata “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murka dan mereka yang sesat”, anda akan merasa pada setiap rakaat sekumpulan daripada ketiga-tiga golongan tersebut. Pada setiap rakaat anda dapat bayangkan siapakah orang yang tergolong di dalam setiap kategori tersebut pada zaman yang sama dan di negeri yang sama. Anda dapat bergerak ke sana ke mari di dalam rakaat-rakaat sembahyang yang anda tunaikan sepanjang hari itu ke seluruh negara Islam, di samping anda juga dapat membentangkan semula sejarah Islam keseluruhannya.
Pada satu rakaat, anda mungkin teringatkan Nabi saw dan para sahabat baginda sebagai contoh golongan yang diberikan nikmat oleh Allah swt. Di samping itu, anda juga teringatkan Abu Jahal dan Musaylamah sebagai contoh golongan yang dimurkai oleh Allah dan golongan sesat.
Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin akan teringatkan Nabi Hud dan Salih sebagai contoh golongan yang diberikan nikmat oleh Allah swt, di samping kaum ‘Ad dan Thamud sebagai contoh golongan yang dibinasakan.
Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin akan teringatkan al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin dan Ibn al-Musayyab sebagai contoh orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah swt, di samping ahli murtad yang terdiri daripada al-Jahm bin Safwan dan al-Ja’d bin Dirham sebagai mereka yang menyeleweng.
Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin teringatkan Imam Ahmad bin Hanbal dan para jamaahnya sebagai ahli-ahli hadith yang mendapat taufiq daripada Allah, di samping Bishr al-Mirrisiyy dan Ibn Duwad sebagai golongan yang zalim.
Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin teringatkan Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim dan Ibn al-Jawziyy sebagai termasuk dalam kategori para reformis, di samping penganut wihdat al-wujud, fana’ yang fantasi, ketergelinciran (shatahat) dan bid’ah sebagai golongan yang melakukan penipuan.
Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin teringatkan Imam Hasan al-Banna, Abdul Qadir ‘Awdah dan Sayyid Qutb serta keteguhan pendirian mereka ketika berhadapan dengan golongan taghut yang angkuh.
Dengan cara demikian, anda dapat memahami seluruh sembahyang anda, kerana seseorang tidak mendapat apa-apa daripada sembahyangnya kecuali apa yang difahaminya sahaja. Anda juga sentiasa dapat memperbaharui janji anda dengan generasi orang-orang yang beriman dan meninggalkan serta tidak menghiraukan golongan perosak. Inilah pergerakan iman, kerana iman yang sebenar tidak hanya menerima kesetiaan daripada anda kemudian meninggalkan anda sendirian ketika melakukan mufasalah (pemisahan diri daripada jahiliah).
  -Dipetik dari ar-Raqaiq-




0 comments:

Post a Comment

 

Al-muqarrabeen Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template