Aminah bergumam halus. Sesuatu perlu dilakukan segera. Penawar mesti dimakan dan ditelan. Dia sudah cuba merawati diri sendiri namun penyakitnya kini makin memburuk. Radar hati hampir sahaja turun ke paras sifar. Jiwanya sudah kering yang teramat. Aminah sudah berusaha untuk menolak dan terus memaksa dirinya bergerak dan bergerak lagi, dan kini hambatan jiwanya yang galau telah menghenyakkannya kembali berteleku.
Aminah rasa ada yang tidak kena dengan fitrah. Dia tahu ibadat sehariannya juga sudah tiada peningkatan. Samada dari segi kuantiti mahupun kualiti. Sangat sukar untuk beroleh khusyuk dan kenikmatan. Apatah lagi mahu mengulangi dan melipatgandakan ibadah yang tiada jiwa. Ada masalah dalam hubungannya dengan Rabbnya Allah SWT, maka itu telah mempengaruhi juga kesihatan hatinya.
Aminah ingin meraung. Dia ingin mengecapi kembali kemanisan sujud dan meratap kepada Allah SWT. Kemanisan beruzlah dan merasai seolah-olah di dalam hatinya ada taman yang bergemerlapan dengan zikrullah. Keriangan berdakwah dan mengalirkan hembusan tarbiyah yang keluar terus dari jiwa yang segar. Bukan seperti sekarang. Tidak ubah seperti robot. Atau burung kakaktua yang menghiburkan hati para peminat suara dan percakapannya tanpa ia sendiri memahami dan menjiwai apa yang dipertuturkan. Aminah tidak sanggup berlakon dan menipu dirinya sendiri, malah menipu adik-adik yang merindui taujihatnya. Jika dia rasa dia tidak layak untuk bercakap, maka dia akan diam dan itulah yang dilakukannya sekarang, yang mungkin makin menyusahkan dirinya sendiri kerana dia makin suka diam dan menjadi seorang pemendam.
Masalah. Memang masalah. Sudah banyak rancangan yang diaturkannya. Cuma kini Aminah betul-betul rasa sudah tidak bertenaga dan lesu untuk menggerakkannya. Dia sudah cuba memaksa dirinya sendiri sebelum ini dan menghalang dirinya daripada mengambil rukhsah atau memberi keuzuran kepada dirinya yang memang uzur. Dia juga tahu bahawa Allah SWT amat benci kepada segolongan orang yang beriman yang tidak melaksanakan apa yang telah dia perkatakan. Dia juga benci untuk dihinggapi sifat-sifat nifaq! Aminah sudah tidak mampu untuk meneruskan kepura-puraan ini. Dia tahu dia berpenyakit. Dan dia tidak mahu penyakit itu berjangkit kepada akhawat lain yang disayanginya dan sangat diharap-harapkannya. Dia tidak mahu ibadat tanpa roh, kerja dakwah tanpa hati, taujihat dan tarbiyah tanpa resapan, menular menjadi budaya yang membarah di kalangan afrad lain pula. Lalu dia menjadi makin diam. Namun adakah masalah akan selesai dengan cara yang sebegini?
Aminah sekarang mahu marahkan dirinya sendiri. Bukankah dia sudah membuat perancangan dan berazam untuk nekad melaksanakannya? Kenapa dia kini menjadi tunduk kepada keadaan dan meninggalkan tekad serta keberanian zaman mudanya di belakang? Adakah dia sudah penat bermain dengan risiko dan ketidakpastian? Bagaimana dia mampu memajukan dirinya jika begini?
Aminah sedang dikuasai oleh kelemahan jiwanya. Dia sedang diuji sebagaimana sahabat-sahabat yang lebih kuat keimanannya dan lebih mantap tarbiyahnya serta lebih hebat murabbinya juga diuji di setiap masa. Aminah telah menelusuri babak-babak pengkisahan beberapa fasa kelemahan jiwa para sahabat di sepanjang rantaian surah-surah dalam juzuk 28. Bagaimana Allah SWT mendidik dan membantu satu masyarakat islam yang baru tertegak secara sempurna itu untuk mengatasi kelemahan jiwa mereka, bahkan mengangkat jiwa mereka ke tahap yang lebih mulia.
Insya Allah. Aminah memohon kepada Allah SWT supaya menjernihkan kembali dan memuliakan kembali jiwanya sebagaimana para sahabat r.a. telah berjaya melepasi fasa genting mereka sendiri. Amin!

.jpg)
.jpg)
.jpg)


